Pakar pujuk’ lagi belit

Kuala Lumpur: Satu sindiket penipuan licik dikesan menyamar sebagai ejen ‘pakar pujuk’ bagi menyelesaikan masalah ugutan dan hutang ceti haram (along) dihadapi orang ramai.

Sindiket itu dikesan mengambil kesempatan terhadap individu yang berhutang kononnya mampu berunding supaya mangsa tidak terus diburu along.

Sindiket itu difahamkan meminta wang yuran keahlian minimum RM1,000 sebelum satu rundingan dilakukan bagi mendapatkan kelonggaran jumlah pembayaran.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, terdapat mangsa ditipu selepas yakin pihak ketiga itu berupaya menyelesaikan masalah pinjaman mereka.

“Mangsa bagaimanapun perlu menjadi ahli dan membayar yuran antara RM1,000 hingga RM2,000.

“Bagaimanapun, sebaik bayaran dilakukan mangsa, suspek menghilangkan diri. Malah akaun bank diberikan suspek milik warga asing,” katanya.

Beliau berkata, sindiket terbabit ternyata licik memperdayakan mangsa selain berpura-pura menjadi ‘hero’ untuk menyelesaikan masalah peminjam.

“Setakat Februari ini, terdapat 73 kes along membabitkan jumlah hutang RM6.3 juta dilaporkan kepada pihak MCA.

“Along tidak meminta banyak dokumen ketika peminjam mahu membuat permohonan, malah iklannya boleh didapati di merata tempat termasuk pokok, tiang dan dinding di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan keperluan mendesak untuk mendapatkan wang, peminjam tidak menghiraukan syarat lain, malah ada hanya berurusan melalui telefon tanpa bersemuka.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pemberi Pinjaman Wang Berlesen Punjabi Malaysia Palwinder Singh berkata, pihaknya menasihatkan individu mahu mendapatkan pinjaman dari Syarikat Pemberi Pinjaman Wang Berlesen memastikan ia berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan (KPKT).

“Pihak kami juga tidak pernah menawarkan pihak ketiga untuk berurusan dengan peminjam menghadapi masalah.

“Jangan dilayan kerenah mereka ini kerana sindiket sengaja berbuat demikian untuk mendapatkan wang secara mudah. Apabila kes ini sampai ke pihak mahkamah, peminjam terpaksa menanggung semua kos, ketika itu mereka sudah terlambat,” katanya.

– Harian Metro –